LAYARI LAMAN SOSIAL IHYA RADZUAN DENGAN MENEKAN GAMBAR DIBAWAH.
SOALAN LAZIM
Soalan Lazim Penjual Rumah
(FAQ Jual Rumah)
Apakah dokumen utama yang perlu saya sediakan untuk mula menjual rumah?
Anda perlu menyediakan salinan Kad Pengenalan (IC), salinan Geran Tanah (Title), Perjanjian Jual Beli (SPA) terdahulu, surat kelulusan pinjaman lama (jika ada), dan bil utiliti, cukai pintu dan cukai tanah terkini.
Berapa lamakah tempoh sah (validity) bagi harga pasaran (market value) yang diberikan oleh penilai?
Laporan penilaian lisan atau awal biasanya bertahan sekitar 3 hingga 6 bulan. Harga pasaran boleh berubah mengikut trend ekonomi semasa, transaksi terkini di kawasan sekitar, dan keadaan fizikal rumah.
Berapa lamakah masa yang diambil untuk penjual menerima duit jualan sepenuhnya?
Bagi rumah status Freehold (Pegangan Bebas), proses mengambil masa sekitar 4 bulan selepas SPA ditandatangani.
Bagi rumah status Leasehold (Pegangan Pajakan), proses mengambil masa sekitar 6 bulan selepas SPA ditandatangani.
Bagi rumah status Kos Rendah, proses ada tambahan masa sekitar 2 hingga 3 bulan.
Adakah saya perlu membaiki semua kerosakan rumah sebelum menjualnya?
Tidak wajib, tetapi digalakkan untuk kerosakan kosmetik mudah (seperti cat baru atau baiki lampu).
Untuk kerosakan besar, anda boleh memilih untuk menjual rumah “seperti sedia ada” (as is where is basis) dengan meletakkan harga yang telah ditolak kos pembaikan, asalkan dimaklumkan awal kepada pembeli.
Siapakah yang bertanggungjawab membayar yuran ejen hartanah (REA/REN)?
Yuran ejen hartanah dibayar sepenuhnya oleh Penjual Rumah, mengikut kadar komisen yang telah dipersetujui dalam Appointment Letter (biasanya maksimum 3% daripada harga jualan).
Bolehkah saya menjual rumah yang masih mempunyai baki pinjaman bank (housing loan)?
Boleh. Pihak peguam akan menguruskan proses redemption (penebusan hutang).
Duit hasil jualan rumah daripada pembeli akan digunakan untuk melangsaikan baki hutang bank anda terlebih dahulu, dan bakinya baru dimasukkan ke akaun anda.
Apakah kos-kos yang perlu dikeluarkan oleh seorang Penjual?
Kos ejen hartanah (jika guna ejen), kos guaman untuk perjanjian jual beli (SPA) dan cukai CKHT (jika ada).
Bolehkah saya membatalkan penjualan selepas menandatangani Booking Form?
Boleh, tetapi anda perlu memulangkan semula wang pertaruhan (booking fee) pembeli berserta ganti rugi tambahan dengan jumlah yang sama (pampasan 1:1), bergantung kepada terma dalam dokumen Booking Form.
Soalan Lazim Pembeli Rumah
(FAQ Beli Rumah)
Berapakah modal tunai (cash) minima yang perlu disediakan untuk membeli rumah?
Anda perlu menyediakan sekitar 13% hingga 15% daripada harga rumah. Ini merangkumi deposit 10% (downpayment) dan 3% hingga 5% untuk kos tunai lain seperti yuran guaman, duti setem, dan yuran penilaian.
Bolehkah pembeli membatalkan pembelian jika permohonan pinjaman bank (loan) gagal?
Boleh, dengan syarat klausa ini dinyatakan dalam Booking Form. Anda perlu mengemukakan sekurang-kurangnya dua surat penolakan rasmi daripada bank untuk mendapatkan semula wang booking penuh.
Apakah perbezaan antara insurans MRTT dan MLTT untuk pinjaman rumah?
MRTT: Premium dibayar sekali gus (dimasukkan dalam pinjaman), nilai perlindungan berkurang mengikut baki hutang, dan pampasan dibayar terus kepada bank.
MLTT: Premium dibayar secara bulanan/tahunan, nilai perlindungan kekal sama sepanjang tempoh, dan pampasan dibayar kepada penama/waris.
Apakah itu yuran penilaian hartanah (Valuation Fee) dan siapakah yang bayar?
Yuran yang dikenakan oleh syarikat penilai berdaftar untuk menilai harga pasaran sebenar rumah bagi kelulusan pinjaman bank.
Kos ini ditanggung sepenuhnya oleh Pembeli Rumah.
Apakah perbezaan antara rumah Freehold, Leasehold, Bumi Lot dan Rezab Melayu?
Freehold: Hak milik kekal selamanya.
Leasehold: Hak milik pajakan (biasanya 99 tahun).
Perlu kebenaran negeri untuk dijual semula.
Bumi Lot: Hartanah yang dikhaskan hanya untuk kuota bumiputera sahaja.
Rezab Melayu: Hartanah yang dikhaskan hanya untuk pembeli yang berstatus MELAYU di dalam surat kelahiran sahaja.
Bolehkah saya menggunakan pengeluaran Akaun 2 KWSP untuk membeli rumah?
Boleh. Anda boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 KWSP (Akaun Sejahtera) untuk membayar wang pendahuluan 10% atau mengurangkan baki pinjaman perumahan selepas Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani.
Apakah yang perlu dilakukan semasa proses penyerahan kunci (Defect Inspection)?
Pembeli (terutamanya rumah baru/undercon) perlu memeriksa setiap sudut rumah untuk mengesan keretakan, kebocoran, atau kerosakan struktur dan menghantar borang tuntutan defect kepada pemaju dalam tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).
Untuk rumah subsale, semak sama ada barangan yang dijanjikan dalam SPA masih ada dan berfungsi.
Mengapakah Duti Setem (Stamp Duty) bagi SPA dan Loan bertukar menjadi mahal?
Duti setem dikira berdasarkan peratusan berperingkat harga rumah dan jumlah pinjaman.
Bagaimanapun, pembeli rumah pertama sering mendapat pengecualian atau diskaun duti setem di bawah insentif kerajaan semasa (tertakluk kepada syarat had harga rumah).
Soalan Lazim Tuan Rumah
(FAQ Sewakan Rumah)
Berapakah pecahan deposit sewa yang selamat untuk diamalkan oleh Tuan Rumah?
Standard yang selamat ialah 2 + 1 + 0.5 (2 bulan deposit sekuriti, 1 bulan sewa pendahuluan, dan 0.5 bulan deposit utiliti), tidak termasuk kos penyediaan dokumen perjanjian sewa.
Jika penyewa lewat masuk daripada tarikh kontrak tetapi booking dah bayar, adakah sewaan dikira pro-rata?
Tidak. Penyewa wajib membayar sewa penuh mengikut tarikh bermula kontrak yang telah dipersetujui.
Kelewatan kemasukan atas urusan peribadi penyewa tidak mengurangkan jumlah sewa bulanan.
Bolehkah saya menolak bakal penyewa berdasarkan hasil tapisan peribadi (Screening)?
Boleh. Sebagai tuan rumah, anda berhak melakukan tapisan ketat (seperti menyemak slip gaji, penyata bank, atau rekod kerja) untuk memastikan bakal penyewa mempunyai aliran kewangan yang stabil dan tidak mendatangkan risiko masalah bayaran kelak.
Apakah tindakan pertama jika penyewa gagal membayar sewa pada tarikh sepatutnya?
Keluarkan notis peringatan mesra secara bertulis (WhatsApp/SMS/Emel) dalam tempoh 3 hingga 7 hari budi bicara.
Jika masih tiada bayaran, keluarkan Surat Tuntutan Sewa (Notice of Demand) rasmi daripada peguam beserta amaran penamatan kontrak.
Siapakah yang bertanggungjawab membaiki kerosakan besar seperti bumbung bocor atau paip pecah dalam dinding?
Kerosakan struktur utama dan kerosakan yang bukan berpunca daripada kecuaian penyewa adalah tanggungjawab sepenuhnya Tuan Rumah.
Bolehkah Tuan Rumah menaikkan harga sewa sesuka hati pada bila-bila masa?
Tidak boleh. Kadar sewa hanya boleh dinaikkan selepas tempoh kontrak semasa tamat dan semasa proses pembaharuan kontrak (renewal), melainkan terdapat fasal khas dalam perjanjian yang membenarkan kenaikan berjadual.
Apakah kepentingan mematikan setem (stamping) dokumen Perjanjian Sewa di LHDN?
Proses stamping memberi status legaliti kepada dokumen tersebut.
Jika berlaku pertikaian besar, perjanjian yang telah dimati setem sahaja yang sah dan diterima sebagai bukti kukuh di mahkamah.
Apakah yang boleh saya lakukan sekiranya penyewa melarikan diri dan merosakkan rumah?
Anda boleh menggunakan deposit sekuriti untuk menampung kos pembaikan.
Jika kos kerosakan melebihi nilai deposit, anda berhak membuat laporan polis dan mengambil tindakan mahkamah tuntutan kecil (small claim court) berdasarkan bukti inventori dan Tenancy Agreement.
Soalan Lazim Penyewa Rumah
(FAQ Sewa Rumah)
Adakah wang Booking Fee akan dipulangkan jika saya membatalkan niat untuk menyewa sebelum masuk?
Bergantung kepada syarat Booking Form. Lazimnya, jika pembatalan dibuat oleh pihak penyewa tanpa sebab munasabah, wang deposit tersebut dikira hangus (forfeited) sebagai ganti rugi masa bagi tuan rumah.
Bolehkah saya menuntut deposit sewa semula jika mahu keluar lebih awal daripada tempoh kontrak?
Kebiasaannya tidak boleh.
Keluar awal dikira melanggar kontrak (breach of contract) dan tuan rumah berhak menghanguskan deposit sekuriti sebagai pampasan penamatan awal.
Apakah perbezaan antara kos penyelenggaraan (Maintenance Fee) bulanan bangunan dan bil utiliti?
Maintenance/Sinking Fund: Kos penyelenggaraan fasiliti bangunan (lif, pengawal keselamatan, kolam renang) yang biasanya ditanggung oleh Tuan Rumah.
Bil Utiliti: Penggunaan harian elektrik, air, indah water, dan internet yang ditanggung sepenuhnya oleh Penyewa.
Bolehkah penyewa menukar kunci pintu utama rumah sewa atas faktor keselamatan?
Boleh, tetapi wajib mendapatkan izin tuan rumah terlebih dahulu dan menyerahkan satu salinan kunci pendua (spare key) kepada tuan rumah/ejen pengurus untuk tujuan kecemasan.
Apakah kerosakan rumah yang wajib dibaiki atau diganti oleh penyewa?
Kerosakan kecil akibat penggunaan harian atau kecuaian sendiri. Contohnya: mentol lampu terbakar, paip sinki tersumbat disebabkan sisa makanan, bateri alat kawalan jauh, atau cermin tingkap pecah.
Berapa lamakah tempoh masa biasa untuk tuan rumah memulangkan wang deposit selepas saya keluar?
Mengikut standard perjanjian, deposit biasanya dipulangkan dalam tempoh 14 hingga 30 hari selepas penyerahan kunci. Tempoh ini diperlukan untuk tuan rumah memeriksa status bil utiliti terakhir dan menilai jika ada kos kerosakan tersembunyi.
Bolehkah saya membawa masuk orang lain untuk tinggal bersama atau menyewakan bilik (Sublet)?
Tidak boleh, melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada tuan rumah. Melakukan sublet tanpa izin merupakan pelanggaran kontrak serius yang membolehkan anda diusir keluar dengan serta-merta.
Apakah yang perlu saya lakukan sebelum menandatangani surat penyerahan kunci semasa masuk rumah?
Lakukan pemeriksaan menyeluruh. Tangkap gambar atau video setiap kerosakan sedia ada (contoh: dinding calar, tombol longgar, kesan perabot rosak) dan hantar kepada tuan rumah sebagai bukti supaya anda tidak dipersalahkan apabila keluar nanti.

